nuffnang

Ahad, 29 Ogos 2010

Ilmu Ramadhan 2010: Solat Tarawih


Rakaat Solat Tarawih:

Ulama berselisih pandangan dalam menentukan rakaat solat Tarawih. Ada yang berpendapat 41 rakaat, 39 rakaat, 23 rakaat, 13 rakaat dan ada yang berpendapat 11 rakaat di samping beberapa pendapat yang lain.

Daripada Aisyah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. tidak mengerjakan (solat sunat) pada bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan melebihi sebelas rakaat di mana (mulanya) baginda solat empat rakaat dan jangan engkau tanya akan keelokan dan panjangnya. Kemudian baginda mengerjakan empat rakaat lagi dan jangan engkau tanya akan keelokan dan panjangnya. Kemudian baginda solat pula tiga rakaat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripadaIbn Abbas r.a. dan Zaid bin Khalid r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih sebanyak 13 rakaat.

Daripada Al-Saaib bin Yazib r.a. berkata: Umar bin Khattab memerintahkan Ubai bin Kaab dan Tamim Al-Daari mengimamkan (solat Tarawih) sebanyak 11 rakaat. Riwayat ini menyerupai bilangan rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Dalam riwayat yang lain yang juga datang daripada Al-Saaib bin Yazib menyebut: “Mereka mengerjakan solat Tarawih pada zaman Umar bin Al-Khattab r.a. dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.” Beliau juga menyebut: “Umar menghimpunkan manusia berimamkan Ubai bin Kaab dan Tamim Al-Daari dengan 21 rakaat.”

Begitu juga diriwayatkan bahawa umat Islam mengerjakan solat Tarawih semasa zaman Umar sebanyak 23 rakaat.

Memandangkan begitu banyak pendapat dalam masalah rakaat Tarawih dan setiap pandangan diperkuatkan dengan dalil yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dan Khalifah selepasnya iaitu Umar Al-Khattab, maka Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah telah menyimpulkan kesemua pandangan tersebut dengan katanya:

“Sesiapa yang menyangka bahawa Qiam (Tarawih) dalam bulan Ramadhan telah ditetapkan rakaatnya oleh Rasulullah s.a.w. dengan tidak boleh ditambah atau dikurang maka adalah
(sangkaan) yang silap.”

Beliau berkata lagi: “Maka hendaklah memperbanyak dan mengurangkan rakaat berdasarkan panjang dan pendeknya solat.”

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda dan para sahabatnya mengerjakan solat Tarawih dengan memanjangkan rakaat solat sehingga diriwayatkan bahawa Baginda membaca dalam satu
rakaat keseluruhan surah Al-Baqarah, Al-Nisa’ dan Ali-Imran. lantaran panjangnya bacaan, menyebabkan mereka mengurangkan bilangan rakaat.

Apabila umat Islam pada zaman Saidina Umar tidak mampu untuk berdiri lama seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabatnya, maka Umar r.a. mengarahkan Ubai bin Kaab
agar memperbanyakkan rakaat dengan bacaan yang pendek sebagai ganti. Berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih, menunjukkan umat Islam pada zaman Umar melakukan solat
Tarawih sebanyak 11 rakaat, 13 rakaat, 23 rakat hingga 39 rakaat.

Maka mereka yang solat sebanyak 11 rakaat atau 123 rakaat dengan niat mencontohi Rasulullah s.a.w., maka ianya adalah baik.Sesiapa yang mengerjakannya sebanyak 23 rakaat dengan berdasarkan amalan umat Islam pada zaman Umar r.a., juga adalah baik. Kesemuanya akan mendapat pahala berdasarkan niat masing-masing.

Manakala dalam Mazhab Syafie’, pendapat yang dipakai ialah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat. Imam Nawawi mengingatkan kepada para imam dan orang yang
menunaikan solat Tarawih supaya menyempurnakan kesemua tuntutan solat kerana didapati sebahagian mereka mengabaikan beberapa zikir dan bacaan solat (dengan niat mempercepatkan solat). Imam Nawawi juga menyebut, seelok-eloknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran dalam solat Tarawih sepanjang bulan Ramadhan dengan menghabiskan 1 juzuk semalam. Begitu juga para imam hendaklah mempastikan bacaan mereka tidak terlalu panjang seperti melebihi 1 juzuk semalam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...