Pengertian:
Puasa dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah
meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat
Fadhilat Puasa dan Bulan Ramadhan
Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah!, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan,
berhentilah!, dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan dari api neraka, dan (penyeru
itu akan menyeru) pada setiap malam (Ramadhan). (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Hadith ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadhan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan
pula akan diikat apabila tiba bulan Ramadhan. Kelebihan bulan Ramadhan juga ialah difardhukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan puasa juga penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadith,dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan2, akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara keistimewaan puasa juga, Allah S.W.T. akan mengandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalanamalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah. Sabda
Rasulullah s.a.w.:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya
hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua ke-gembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah s.a.w.
bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘Al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorangpun selain mereka, diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorangpun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorangpun.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat Al-Nasa’i dan Ibn Huzaimah pula disambung lagi: “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”
1 ulasan:
Jazakalallahukhair ...
Catat Ulasan