nuffnang

Jumaat, 27 Ogos 2010

Ilmu Ramadhan 2010: Solat Sunat Ramadhan


Qiamullail dan Solat Tarawih:

Memakmurkan malam-malam sepanjang bulan Ramadhan adalah sunat dan amat dituntut oleh Rasulullah s.a.w.. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang bangun (Qiamullail) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara ibadat-ibadat yang dituntut sepanjang Ramadhan ialah solat Tahajjud, membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya sekerap yang mungkin. Qiamullail dalam bulan Ramadhan juga diberi maksud sebagai mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah.

Daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. menunaikan solat Tarawih di masjid lalu diikuti beberapa orang bersamanya. Kemudian baginda solat lagi dan orang yang solat bersamanya semakin bertambah ramai. Seterusnya orang ramai berhimpun pada malam ketiga dan keempat tetapi Rasulullah s.a.w. tidak keluar untuk solat Tarawih bersama mereka. Apabila tiba waktu
subuh, Rasulullah s.a.w. bersabda dengan mereka:

“Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku takut ianya difardhukan ke atas kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Al- Khattab r.a., umat Islam pada peringkat awal mengerjakan solat Tarawih secara bersendirian. Kemudian Umar memerintahkan mereka mengerjakannya secara berjemaah dan beliau melantik Ubai bin Kaab sebagai imam. Sekalipun solat Tarawih boleh dilakukan secara bersendirian namun kelebihan adalah secara berjemaah. Nabi s.a.w. telah bersabda:

“Seseorang lelaki yang bersolat (tarawih) bersama imam sehingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira telah bangun (beribadat) keseluruhan malam.” (Riwayat Ashabussunan)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...